Wednesday, March 26, 2008

SEK MEN KEB WAKAF BHARU 2008

Sekolah Menengah Wakaf Bharu atau nama asalnya Sek. Men. Rendah Wakaf Bharu mula diasaskan pada 16 April 1981. Pada peringkat permulaanya pelajar yang belajar di sini didatangkan terus dari Sek.Men. Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan. Mereka terdiri dari pelajar Tingkatan 1 dan 2 yang tinggal di sekitar Wakaf Bharu dan kampung berdekatan termasuklah dari Kampung Chenderong Batu dan Kampung Menjual di Chabang Empat. Jumlah pelajar pada peringkat awal penubuhannya ialah seramai 421 orang iaitu 209 orang pelajar Tingkatan 1 manakala Tingkatan 2 seramai 212 orang. Jumlah kelas pula ialah 11 buah, 5 kelas untuk Tingkatan 1 dan 6 kelas untuk Tingkatan 2.

Pengetua pertama ialah Tuan Haji Husin b. Salleh yang pada ketika itu sebagai Penyelia Petang SMK Mahmud Mahyiddin sebelum beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengetua SMKWB dan jumlah guru SMKWB di awal penubuhnanya seramai 21 orang. Beliau telah memilih semua setiausaha unit sekolah SM Mahmud Mahyiddin dan ini menjadi satu pemangkin besar kepada perubahan dan peningkatan SMKWB dalam percaturan akademik di daerah Pasir Mas / Tumpat hingga ke hari ini.

Sesi persekolahan pada mulanya hanya satu sesi dan dibuka kepada pelajar Tingkatan 1 dan 2 sahaja. Pada tahun 1982, pelajar Tingkatan 1 di ambil terus dari sekolah SK Wakaf Bharu, SRK Wakaf Bharu, SK Delima, SK Kubang Batang, SK Chenderong Batu, SK Kebakat dan SK Morat. Pada tahun ini juga kali pertama pelajarnya mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Pada peringkat permulaan infastruktur sekolah, terdiri daripada dua buah blok bangunan dua tingkat dan dua blok bangunan setingkat iaitu di Blok Bengkel Kemahiran Hidup, kantin, Blok Delima dan Blok Nilam. Sekolah ini sepatutnya dibuka pada penggal kedua persekolahan tahun 1981, namun begitu kerana desakan oleh ibu bapa pelajar maka SMKWB dibuka pada tarikh 2 Mei tahun tersebut. Ekoran pembukaan SMKWB yang dipercepatkan ini, sekolah dan warganya menanggung risiko yang amat berat. Selama tiga bulan sekolah berfungsi tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik. Namun begitu guru, pelajar dan ibu bapa berusaha agar persekolahan dapat berjalan dengan lancar dengan bekalan air daripada sebuah perigi.

Pembukaan secara rasmi telah dilancarkan pada 1 Oktober 2002 bersamaan 24 Rejab 1423 Hijrah oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu iaitu YB Dato’ Abdul Aziz bin Shamsuddin. Ketika ini SMKWB mempunyai sepuluh buah blok.

No comments: